Dakwaan kerajaan tawar projek untuk dapat sokongan tak berasas

JURUCAKAP Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil menolak dakwaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ditawarkan projek di kawasan mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan sebarang projek untuk mendapatkan sokongan seperti yang didakwa kedua-dua mereka.

Apa lagi jelasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 Ahli Parlimen.

"Malah Perdana Menteri telah jelaskan di Parlimen bahawa beliau langsung tidak bertemu dengan dua Ahli Parlimen PN yang telah umum sokongan kepada beliau baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berkata begitu sebegai mengulas dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada satu sidang media pada Jumaat  kononnya beberapa ahli Parlimen mendakwa menerima tawaran projek dan jawatan GLC menerusi beberapa kaedah termasuk panggilan telefon, WhatsApp dan e-mel.

Dakwaan itu dibuat setelah dua Ahli Parlimen dari Bersatu memberi tamparan kepada PN susulan tindakan mereka menyatakan sokongan terbuka terhadap kerajaan dan perdana menteri baru-baru ini.

Sementara itu Fahmi turut menegaskan kenyataan Hamzah bahawa majoriti rakyat mereka mengambil alih kerajaan pusat sekadar “halwa telinga” untuk diri dan kumpulan penyokong mereka.

Justeru beliau menyarankan agar pembangkang untuk tidak terus angkuh untuk tidak mengadakan perundingan dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu peruntukan.

"Pakatan Harapan juga pernah duduk berunding dan akhirnya yang menang ialah rakyat.

"PN tidak hilang maruah atau martabat mereka menjadi rendah jika duduk berunding seperti disarankan Perdana Menteri," tegasnya.