Shamsul Iskandar gesa R|adzi Jidin dikenakan tindakan

BEKAS Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa supaya tindakan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin susulan kelakuannya di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan, Shamsul yang juga  Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan MADANI berkata pihaknya akan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memulakan usaha menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.

"Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara...Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan biadap Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Radzi Jidin dikritik ramai susulan tindakannya enggan mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sewaktu sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu diarah keluar daripada Dewan apabila terus mempertikai keputusan Johari berhubung kenyataan Anwar yang dikatakan mencalar maruahnya dan berulang kali meminta Johari membuat keputusan supaya Anwar menarik balik kenyataannya.
 
Sementara itu Shamsul Iskandar menegaskan, Johari telah mengikut segala prosedur diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat termasuk meminta Perdana Menteri menjelaskan apa dimaksudkan dengan "pentadbiran Putrajaya" yang merujuk kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Jelas, YB Putrajaya (Radzi) tersalah sangka kononnya 'Putrajaya' yang dimaksudkan adalah diri beliau. Yang Dipertua Dewan Rakyat seterusnya telah membuat keputusan menerima penjelasan itu berdasarkan Peraturan 99 iaitu Petua-petua Tuan Yang Dipertua," katanya.

Tambah Shamsul, sekiranya Radzi Jidin tidak berpuas hati , dia boleh membuat usul namun kelakuannya di Dewan Rakyat telah dikuasai emosi melampau  hinggakan mengganggu sesi penggulungan.

Post a Comment

0 Comments