Perlekeh Sultan Selangor: AMK akan buat laporan polis terhadap Sanusi


MENTERI BESAR  Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari malam tadi memaklumkan ramai pihak akan tampil membuat laporan polis terhadap kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ia susulan kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata pimpinan PN  dan penyokongnya perlu menilai semula kenyataan dibuat Sanusi, serta menginsafi kesilapan yang disifatkan melanggar etika “berkempen”.

“Ada laporan polis saya rasa akan dibuat oleh beberapa orang teruskan laporan itu dibuat. Itu menunjukkan sikap munafik mereka terutama bila bercakap tentang isu Melayu.

“Tetapi, selalu dan berulang kali melanggar bukan sahaja disiplin berkempen, tetapi terma dan juga adab dengan sultan atau Raja-Raja Melayu,” katanya pada siri Ceramah Madani di Kuala Selangor malam tadi.

Menurut laporan itu, Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PN itu dalam ceramahnya baru-baru ini, membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin menjadi menteri besar yang dilabelnya sebagai “cokia”.

“Sultan hebat macam itu (Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucapnya.


Sementara itu difahamkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor akan membuat laporan polis terhadap Sanusi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 2.30 petang.

Post a Comment

0 Comments