Pembangunan KSSA lalui proses telus dan rapi - MBI


PEMBANGUNAN
projek Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan melalui proses amalan terbaik yang telus dan rapi sebelum ia dimuktamadkan.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melalui satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, cadangan pembangunan KSSA bermula sejak 2013 dengan 15 syarikat pemaju telah mengemukakan cadangan membangunkan semula kompleks sukan berkenaan.

Tambah MBI, tatacara operasi standard bagi projek berimpak tinggi seperti KSSA menggariskan hanya syarikat pemaju yang berkelayakan dan berpengalaman dipilih bagi projek berskala besar, selari etika amalan tadbir urus telus.

Cadangan yang dikemukakan calon pemaju bakal dinilai oleh juruperunding profesional, dan hasil penilaian tersebut dibentangkan ke jawatankuasa penilaian di peringkat MBI, dan kemudian diangkat ke lembaga pengarah untuk kelulusan.

"Cadangan telah diteliti pada peringkat MBI dan hasil proses tersebut, enam syarikat disenarai pendek dan dijemput menyertai proses Permintaan Untuk Cadangan," kata MBI Selangor.

Difahamkan, projek KSSA akan dilaksana secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.

Ia akan menyediakan kemudahan sukan bertaraf dunia, antaranya stadium yang akan dibina tidak memiliki trek larian bagi membolehkan penonton mendapat suasana sebenar permainan bola sepak seperti stadium di Eropah.

MBI sebelum ini mengadakan sesi libat urus dan pameran awam selama dua minggu, dari akhir Januari hingga Februari tahun ini, bagi memaklumkan kepada orang ramai tentang pelan pembangunan KSSA dan ruang untuk memberikan pandangan.

Bakal sedia kemudahan bertaraf dunia
“Ekoran sesi libat urus tersebut, 98.7% daripada maklumbalas yang diterima adalah positif,” katanya.

MBI berkata pada peringkat ini projek pembangunan KSSA dalam fasa penelitian reka bentuk dan komponen pembangunan, sebelum dimuktamadkan pada Julai.
 
"Secara keseluruhan proses pemilihan ini mengambil masa lebih enam bulan membabitkan pelbagai tapisan untuk memastikan kepentingan rakyat negeri Selangor terpelihara," kata MBI lagi.

Post a Comment

0 Comments