Fahmi dilantik penaung kelab KL City FC

 


MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kini menjadi penaung kelab Kuala Lumpur City (KL City) FC

Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menerusi satu sidang media yang diadakan pada Rabu.
 
Mengesahkan perkara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata beliau tiada masalah untuk menjadi penaung kelab bola sepak The City Boys itu.

"Ya sahih...sebagai seorang Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, saya tiada halangan untuk jadi penaung kelab bola sepak ini," katanya dipetik laporan Bernama hari ini.
 
Sementara itu, Khalid berkata Fahmi yang ditemuinya bagaimanapun meletakkan syarat sebelum membuat keputusan untuk menerima pelawaan tersebut.

"Saya telah mendapat pengesahan daripada Fahmi untuk menjadi penaung pasukan KL City, dengan syarat KL City tidak boleh mendapatkan penajaan daripada mana-mana syarikat telekomunikasi, yang kini berada di bawah kementeriannya.

"Ini kerana beliau tidak mahu terhutang dengan syarikat berkenaan kerana menyumbang atau membantu KL City...jadi apa kita perlukan ialah seseorang dihormati dan disegani sebagai penaung dan kita akan usaha untuk mendapatkan penajaan lain," tambahnya.

Fahmi setuju dilantik penaung
Dalam pada itu, Khalid berkata beliau sudah berjumpa Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, untuk memohon pertimbangan bagi menambah bajet persatuan daripada RM5 juta kepada RM10 juta setahun.

Beliau berkata pihaknya juga bersetuju untuk menjadi ambassador Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan apa-apa inisiatif DBKL untuk tahun ini, termasuk KL City akan membawa kempen DBKL menjadikan "Kuala Lumpur Ke Arah Bandar Rendah Karbon" sebagai jenama," katanya.