Kita harus jadi pendakwah, bukan penghukum - PM


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Malaysia akan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala Islamofobia yang membarah termasuk di negara luar.

Menerusi catatan di laman Facebook rasminya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, langkah itu akan menjadi kebijakan (pengetahuan) yang spesifik dalam Kementerian Luar Negeri.

“Menyingkap soal fahaman agama yang melampau, tentunya ini berpangkal pada soal pendidikan dan bagaimana masyarakat kita dididik dan diasuh.

“Sering diingatkan bahawa sayugia (sepatutnya) kita menjadi pendakwah dan bukan penghukum. Justeru penting untuk diketengahkan fahaman yang lebih sederhana serta membudayakan Adab al-Ikhtilaf dalam menyikapi perbedaan pandangan,” katanya.

Anwar sebelumnya memuat naik gambar pertemuan beliau dan isteri bagi meraikan ulama terkenal Zimbabwe Dr Mufti Ismail Menk, Syeikh Muhammad Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Syeikh Wael Ibrahim dari The Aware Academy, Australia di Putrajaya.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Pendidikan, serta tokoh-tokoh ilmuwan agama tempatan.
 
“Saya terharu dengan rasa senang dan nyaman Mufti Menk dan rombongannya sepanjang keberadaan mereka di Malaysia.

PM Anwar senang dengan kehadiran Mufti Menk
"Saya dan hadirin mengambil peluang bermuzakarah bersama Mufti menyentuh beberapa ittijahat (jalur pemikiran) umat semasa.

"Beliau berhasrat untuk kembali dengan lebih kerap ke sini. Saya nyatakan bahawa pintu kita sentiasa terbuka dan mudah-mudahan negara tercinta ini sentiasa mendapat limpahan berkat dari Allah SWT,” kata Anwar melalui hantaran tersebut.

Post a Comment

0 Comments