KERAJAAN PERPADUAN akan memfokus kepada beberapa keutamaan yang memainkan peranan penting dalam menangani isu kritikal, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Bercakap daam satu program sempena Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi (LISF) 2023 semalam, Fahmi brkata, kesemua keutamaan itu yang bakal dilaksana tahun ini adalah termasuk membangunkan model pencegahan bagi bencana alam, kesihatan dan keterjaminan makanan, sistem untuk merapatkan jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar serta inisiatif inovasi sosial dalam usaha menambah baik kehidupan rakyat berpendapatan rendah.
Tambahnya, antara instrumen penting dalam menangani kesemua cabaran ialah melalaui penggunaan teknologi angkasa.
"Walaupun sesetengah orang mungkin bimbang mengenai hala tuju teknologi maju termasuk peningkatan potensi ke arah kemusnahan bumi, teknologi angkasa bukan sahaja mampu membawa manfaat ketara yang besar dalam pelbagai bidang kehidupan tetapi juga telah memperdalam pemahaman mengenai apa yang dianggap sebagai intipati kemanusiaan.
"Kemajuan dalam teknologi angkasa sudah pasti akan mengubah realiti fizikal pada abad berikutnya dan mungkin memastikan kelangsungan hidup manusia," katanya dipetik.
Ketua Penerangan KEADILAN itu turut menegaskan, Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan teknologi angkasa sebagai sebahagian daripada pembangunan negara secara keseluruhan.
Sementara pada program serupa Fahmi berkata, seperti yang digariskan dalam program Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030), sektor angkasa lepas dijangka menyumbang sehingga RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030 melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030.
Beliau berkata kesemua keutamaan ini adalah selaras dengan rancangan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
![]() |
Termasuk isu iklim dan jaminan makanan |
"Ini membuktikan Malaysia memiliki ekosistem angkasa yang sanggup menyokong bukan sahaja program kerajaan tetapi yang lebih penting, pemain domestik dalam industri swasta dan rakan kongsi antarabangsa mereka," tambahnya.