PM perluas BKKA kepada Sukarelawan Wataniah, tentera dan maritim

 


PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan anggota sukarelawan Wataniah, tentera, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) layak menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang diumumkan sebelum ini.

Ditemui pemberita ketika beramah mesra bersama peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam pada Rabu beliau berkata telah dimaklumkan bahawa terdapat permohonan pemberian elaun dalam kalangan sukarelawan bawah kategori lain yang tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini.

Justeru jelasnya, bantuan serupa diperluas kepada sukarelawan wataniah, sukarelawan angkatan tentera dan sukarelawan maritim (APMM).

“Ketiga-tiga kategori ini akan dimasukkan dalam bantuan kewangan Aidilfitri sukarelawan,” katanya.

Difahamkan seramai 26,000 orang daripada ketiga-tiga badan sukarelawan akan menerima bantuan khas kewangan yang melibatkan peruntukan RM7.8 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua, di Dewan Negara mengumumkan lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300.

Ia menyusul pengumuman BKK RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain RM350 juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan.

PM cuba pastikan tiada kumpulan tertinggal
“Selepas diteliti, ada kategori yang tidak dapat manfaat yang sama membabitkan mereka dalam kalangan bukan pekerja tetap iaitu sukarelawan sama ada Rela, APM, sukarelawan polis, dan sukarelawan bomba.

“Mereka ini juga menghadapi masalah, maka saya bersetuju untuk berikan saguhati sebanyak RM300 bagi setiap sukarelawan. Bagaimanapun, saguhati ini tidak termasuk polis bantuan,” kata Anwar pada pengumuman Mac lalu itu