Bukan pembaziran bila kerajaan jamu rakyat makan

 


MENTERI DALAM NEGERI, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri sebagai satu pembaziran.

Menurutnya, majlis jamuan itu merupakan pendekatan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa rakyat dan kerajaan tidak sewajarnya berkira-kira dengan rakyat.
 .
"Rumah terbuka nak sambut raya dengan rakyat tak usah kira sangatlah, apa sangat nak jamu ketupat, lemang kepada rakyat. Jadi tak ada isulah saya nampak... membazir apa? Nak jamu ketupat... lemang, apa yang membazir itu? Ketupat dan lemang berapa duit.

"Ada makanan (antaranya) lemang, ketupat, sate. Itu menu yang saya sahkan semalam, akan ada (juga) gerai-gerai, ada cendol, ada ais kacang, berapa duit sangat, tak membazirlah insya-Allah," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang terutama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengkritik penganjuran majlis itu.

Menurut Sanusi, penganjuran rumah terbuka itu akan melibatkan kos yang tinggi dan wajar diadakan di Putrajaya sahaja bagi mengelakkan pembaziran.

Selain Kedah, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).

Selain Sanusi, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya turut mengkirik program berkenaan dengan mendakwa ia akan menyebabkan berlaku banyak pembaziran dan hanya bermotifkan politik.

Kritikan Ahmad itu kemudian dibidas Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang berkata tuduhan dilemparkan itu bukan sahaja bersifat prejudis terhadap Anwar malah membuktikan mereka sakit hati kepada usaha dilakukan Anwar untuk menyantuni rakyat.

Pemimpin PAS anggap jamu rakyat sebagai membazir?
"Apa yang Perdana Menteri buat semua tak betul. Rumah terbuka pun salah, basmi kemiskinan tegar pun salah.

"Silap hari bulan, kalau Perdana Menteri nak pulihkan masalah air di Kelantan pun nanti dianggap agenda Freemason.

"Sakit. Hati mereka ini sakit," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Selasa.



Post a Comment

0 Comments