Tiada pendakwaan terpilih, jangan kelirukan rakyat


PENYOKONG
  Perikatan Nasional (PN) terutama dari parti Pas digesa tidak menabur fitnah dengan memberi persepsi bahawa siasatan dan pendakwaan terhadap beberapa pemimpin gabungan itu sebagai terpilih.

KEADILAN Cabang Kemaman dalam satu kenyataan berkata, penyokong Pas tidak seharusnya dipengaruhi emosi dan mereka wajar menyemak semula fakta sebelum membuat tuduhan Kerajaan Perpaduan mencampuri kes membabitkan pemimpin mereka.

"Penyokong Pas menuduh ini adalah bermotifkan politik untuk menjatuhkan imej Perikatan Nasional.

"Namun mereka terlupa bahawa Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Tan Sri Azam Baki sendiri adalah dilantik oleh bekas Perdana Menteri ke 8,Tan Sri Muhyidin Yassin sendiri.

"Begitu juga dengan Peguam Negara,Tan Sri Idrus Harun juga dilantik oleh bekas perdana menteri itu.

"Ini adalah bukti yang jelas bahawa pihak SPRM dan pejabat peguam negara menjalankan tugas dgn penuh profesional dan tidak terpengaruh dengan keputusan-keputusan politik," kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, KEADILAN Kemaman turut menegaskan sekiranya berlaku campur tangan dalam pendakwaan itu seperti yang didakwa, mengapa kes membabitkan pemimpin penyokong kerajaan masih dibicarakan di mahkamah.

"Kes tersebut tidak pernah ditarik balik oleh peguam negara dan masih berjalan di mahkamah.

"Penyokong Pas diminta jangan menabur fitnah dengan membuat tuduhan melulu, biarkan pihak yang berkenaan menjalankan tugas secara profesional dan memberi peluang mahkamah memutuskan sama ada pertuduhan itu benar atau sebaliknya," tambah kenyataan tersebut.

Penyokong PN digesa semak fakta sebelum tuduh
Semalam Muhyiddin yang merupakan Presiden parti BERSATU dipanggil memberi keterangan di SPRM Putrajaya.

Azam Baki kemudian mengesahkan Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa di mahkamah pada Jumaat berkaitan kes salah guna dana kerajaan membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Pada 21 Feb lalu, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengaku di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta membabitkan program sama.

Selain dua pemimpin tertinggi Bersatu itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dan seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh, Datuk Teo Wee Cheng turut dihadapkan ke Mahkamah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program tersebut.


Post a Comment

0 Comments