Selangor teliti tapak untuk pertukaran tanah biaya kos KSSA


KERAJAAN Selangor meneliti beberapa tapak tanah di Klang dan Hulu Selangor sebagai pertukaran tanah dengan pemaju untuk membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar. Datuk Seri Amirudin Shari pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa bagi menjawab soalan tambahan dari sorang wakil rakyat pembangkang berhubung pembangunan KSSA.

Menurut Amirudin yang merupakan ADUN Sungai Tua sementara itu memberitahu, kerajaan negeri ketika ini sedang melihat kos keseluruhan pembinaan KSSA dan penelitian terhadap kawasan yang akan dilakukan secara pertukaran tanah itu perlulah sama nilainya dengan kos keseluruhan kompleks itu.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Datuk Haris Kasim) ada berjumpa pihak terbabit berhubung pemilihan tanah untuk kita gantikan serta penelitian kos (pembinaan KSSA). Jadi saya ingat sekitar April atau selepas Hari Raya, kita akan isytihar di mana tapak (untuk pertukaran tanah) dan kos keseluruhan berkenaan susun atur dan pelan projek ini," katanya.

Pembangunan KSSA dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad yang akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.

Antara kerja-kerja yang dirancang adalah meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak bah berulang selain menukar sistem pendawaian elektrik.

Selain itu ia meliputi penukaran struktur bumbung selain pembaikan padang serta sistem perpaipan.

Perincian akan didedah seawal April
Stadium terbabit juga bakal mempunyai tiga jenis padang yang boleh dialih mengikut kesesuaian aktiviti iaitu padang rumput, padang sintetik dan penggunaan lantai konkrit.

KSSA turut akan dilengkapi kawasan rekreasi, riadah, dan perniagaan bagi memberi manfaat kepada semua golongan.

"Secara asas, 50 peratus kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan sukan, 30 peratus dijadikan taman dan kawasan hijau dan selebihnya untuk utiliti dan komersial yang diurus kerajaan negeri.

"Kita sedang bincang dan lihat kos keseluruhan termasuk pertukaran tanah kerana tidak mahu kacau tanah berhampiran. Mulai April, kebenaran merancang boleh dihantar untuk kita mulakan proses pembinaan," kata Amirudin.

 

Post a Comment

0 Comments