NRECC akan jayakan usaha rendah pelepasan gas rumah kaca


KEMENTERIAN
  Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan terus menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementerian akan menetapkan sasaran jumlah pelepasan GHG yang perlu dikurangkan bagi sektor tenaga, industri pemprosesan dan guna produk, pertanian, guna tanah, pertukaran guna tanah dan perhutanan serta sisa sehingga tahun 2030.

"Kementerian juga akan mengenal pasti sumber dan kapasiti merangkumi kewangan, teknologi dan keperluan lain bagi mencapai sasaran yang ditetapkan serta turut mengenal pasti kekangan yang dihadapi," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Nik Nazmi memberi penjelasan melalui jawapan lisan bagi menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) yang mahu tahu langkah kerajaan mengurangkan pelepasan GHG di dalam negara.
 
Sementara itu Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa turut menjelaskan kerajaan  juga dalam proses membangunkan dokumen komunikasi Strategi Rendah Karbon Jangka Masa Panjang (LTLEDS).

Had pelepasan GHG akan ditetapkan
Dokumen yang dijangka dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun ini akan memberikan konteks perancangan jangka panjang, keutamaan pembangunan, wawasan serta hala tuju pembangunan akan datang.

Ia termasuk maklumat mengenai bila negara boleh mencapai pelepasan GHG sifar bersih atau net zero, samada pada tahun 2050 atau lebih awal.
 

Post a Comment

0 Comments