TINDAKAN lebih tegas bagi menyekat akses pornografi secara menyeluruh di media sosial akan dilaksana dalam usaha membanteras jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata, masyarakat perlu diberi kesedaran dan perhatian masalah jenayah seksual terhadap kanak-kanan disebabkan pengaruh media sosial serta salah guna Internet.
"Kita memerlukan internet dan teknologi, namun bahan-bahan porno di dalam medium ini sukar untuk dikawal.
"Tindakan tegas perlu dilakukan untuk menyekat terus talian yang bersifat pornografi memandangkan laman sesawang ini boleh diakses pada bila-bila masa," katanya dalam satu sidang media.
Ahli Parlimen Sepang itu sebelumnya hadir ke Karnival Hari Wanita Antarabangsa Kelantan (HAWA) 2023 di Kota Bharu semalam.
Mengulas lanjut usaha yang mahu dilaksana itu, Aiman Athira berkata KPWKM akan menjalin kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Kementerian juga jelasnya akan terus meneliti apa-apa sahaja ruang dan faktor-faktor yang boleh membawa kepada jenayah tersebut terus berleluasa untuk ditangani bersama.
“Tanggungjawab ini bukan bawah kementerian kami sahaja atau kementerian lain malahan ialah peranan segenap masyarakat,” tambahnya.
Akan kerjasama dengan SKMM dan polis |
Sebanyak 12,890 kes termasuk rogol, cabul, sumbang mahram, gangguan, amang dan berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak, buang bayi dan keganasan rumah tangga dicatatkan pada 2022 berbanding 11,092 kes pada 2020.
0 Comments