Jualan murah JER S'gor akan diganti dengan program baharu


KERAJAAN Negeri Selangor sedang merancang menggantikan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dengan program baharu yang lebih bersasar bagi memastikan usaha meringankan beban belanja penduduk dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

EXCO Pemodenan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim pada Sidang Sidang Dewan Negeri Selangor berkata, program baharu itu dijangka akan bermula pertengahan tahun ini.

"Program ini adalah program fenomena sementara. Bukan program jangka masa panjang kerana program intervensi harga ini tidak wajar kita laksanakan secara berterusan. Kita akan ada satu kaedah lain yang kita akan buat selepas bulan Mei nanti.

Kerajaan negeri akan meneliti semula kaedah lebih baik dan mampan dalam usaha membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang," katanya menjawab soalan ADUN Sungai Ramal, Mazwan Johar.

JER diperkenal Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin KEADILAN ketika pasca pandemik COVID-19. Ia merupakan program intervensi bagi membantu penduduk terutama berpendapatan rendah berdepan kenaikan harga makanan.


Tambah baik program agar lebih mampan
Program menawarkan produk antaranya ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), beras lima kilogram (RM10) di kendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.


Ia dianjur di sembilan lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Sementara itu jelas Izham, melalui program baharu yang dirancang, Kerajaan Negeri mahu memastikan ia dapat dilaksana lebih mampan dengan kerjasama beberapa pihak lain termasuk agensi kerajaan Persekutuan.

Post a Comment

0 Comments