KERAJAAN akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa bidang kesihatan dan pendidikan disamping projek pengangkutan awam dan keperluan lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bidang kesihatan dan pendidikan itu menjadi keutamaan menerusi Belanjawan 2023 kerana dilihat dalam keadaan kritikal dan perlu diperkukuh semula.
"Dengan kekangan kewangan hutang yang defisit. Kita tidak dapat selesaikan masalah dalam masa yang singkat.
“Jadi untuk tahun ini kita nak ambil langkah yang sangat tegas dan berani, belanja yang jauh lebih tinggi untuk selesaikan masalah asas prasarana sekolah daif, tandas, kelengkapan sekolah dan juga aspek kesihatan serta perubatan.
“Sebab itu kita lihat peruntukan mendadak bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pada Belanjawan 2023, bukan kementerian lain tidak penting, cuma kita tumpukan pada bidang yang dianggap terdesak dan perlu,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Fasa Dua Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, pada Khamis.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas, menyaksikan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM55.2 bilion, manakala Kementerian Kesihatan pula menerima peruntukan kedua terbanyak berjumlah RM36.3 bilion.
![]() |
Sektor pendidikan dan kesihatan perlu tumpuan |
“Jika Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) ada keperluan lain, kita teliti. Jika selepas ini dalam sebulan dua ini negara akan sambut pelancong, jadi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga penting, dan semestinya kemasukan pelancong akan libatkan soal Imigresen dalam skop Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
0 Comments