Dua akta akan dipinda bagi tangani kenyataan jelik babit 3R

 


MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa Raja-Raja Melayu pernah melahirkan rasa dukacita terhadap isu ekstremisme di negara ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara.

Bercakap sebagai tetamu pada program forum bertajuk “Youth Empowerment Through Digital Platforms” di Kuala Lumpur pada Ahad, Fahmi berkata, kegelisahan itu susulan beberapa insiden kebelakangan ini yang melibatkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R).

Atas kegelisahan itu Raja-Raja Melayu jelasnya telah menzahirkan pandangan dan nasihat termasuk dengan tidak membenarkan Masjid dan Surau digunakan bagi menyebar ideologi politik.

“Disebabkan itu hampir semua majlis agama (negeri) arahkan tidak berpolitik dalam masjid dan surau.

"Saya sudah beritahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan mereka telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu 3R sebagai peringatan kepada setiap orang, jaga keselamatan, jaga tertib, jaga adab, jangan langgar,” katanya.

Terdahulu MCMC dalam kenyataan mengingatkan mengingatkan orang ramai, agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan atau pandangan yang berbaur kebencian membabitkan elemen 3R di media sosial dan aplikasi pemesejan.  
 
Sehubungan itu MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

Mereka turut mengingatkan bahawa sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meminda dua akta bagi mengekang kenyataan tidak bertanggungjawab membabitkan 3R.


Unsur boleh cetus permusuhan mesti disekat
Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) itu tegasnya perlu dilakukan selari peredaran masa dan mengambil kira perkembangan teknologi semasa yang telah jauh berubah.


“Pindaan itu nanti juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen dan kementerian akan menelitinya sebelum ia dijangka dibawa ke Parlimen pada penggal ini atau selewat-lewatnya tahun depan," katanya.


Post a Comment

0 Comments