Andaian HARAPAN tak dapat sokongan Melayu tak benar


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak andaian oleh pihak tertentu yang mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mendapat sokongan kaum Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Beliau yang juga Pengerusi gabungan pada satu sidang media di Petaling Jaya mendedahkan analisis pasukan saintis data yang diwujudkan mendapati kira-kira 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu dalam PRU15 adalah orang Melayu.

"Apabila kita buat satu pasukan data saintis yang membuat analisis, kita dapat lihat dalam data awal bahawa sebenarnya tidak benar (dakwaan) yang diuar-uarkan kononnya HARAPAN mendapat 19 peratus dokongan Melayu.

"Kalau 19 peratus sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat jumlah kerusi seperti mana yang dicatat dalam PRU15," katanya.

Analisis sama juga  turut menunjukkan gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya kini menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan.

Situasi itu tegas Anwar membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbiran ketika ini.
 
"Kalau itu keadaannya, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

HARAPAN dapat sokong masyarakat semua kaum
"Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan," tambah Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.
 
Beliau sementara itu mengakui sokongan kaum Melayu terhadap HARAPAN di negeri Keantan dan Terengganu adalah rendah.

Namun di Pantai Barat terutama Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, gabungan itu tetap menjadi pilihan utama dengan lebih 50 peratus pengundi Melayu memilih HARAPAN.  


Post a Comment

0 Comments