MASYARAKAT Malaysia terutama di Selangor digesa mengetepikan fahaman politik dan perbezaan luaran.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin melontar gesaan itu dalam titah sempena tahun baharu 2023.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office semalam, baginda berdua menegaskan langkah itu perlu dilaksanakan untuk mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang sedang didepani oleh negara yang disayangi.
Baginda berdua juga tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli-ahli politik bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menurut hantaran itu, baginda berdua berharap agar rakyat terus mengutamakan keamanan dan keharmonian serta mengelak daripada menyentuh isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum.
Justeru semua pihak tegas baginda perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara yang semakin pulih selepas fasa pandemik sekaligus membawa semula negara ke peringkat lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.
![]() |
Baginda doakan 2023 bawa sinar gemilang |
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar segenap kelompok masyarakat menyematkan azam tahun baharu untuk berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang agak membimbangkan pada tahun hadapan.