Rakyat biasa mesti dapat manfaat dari penurunan kuasa di S'wak

 


KERAJAAN digesa memastikan penurunan kuasa kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memberi manfaat kepada rakyat biasa dan bukannya golongan elit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu autoriti kepada Sabah dan Sarawak baru-baru ini menarik perhatian orang ramai.

Ia antaranya kuasa meluluskan projek bernilai bawah RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak akan mengurangkan kerenah birokrasi dalam melaksanakan projek pembangunan di dua wilayah itu.

"Dalam kita mahukan lebih banyak kuasa untuk negeri Sarawak, kita juga mementingkan bagaimana kuasa ini akan diguna atau dilaksanakan.

"Ini kerana akhirnya, kepentingan rakyat Sarawak yang harus diutamakan bukannya golongan elit semata-mata," katanya di Kuching semalam.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin sebelumnya diminta mengulas usaha pemulihan dan realisasi hak MA63 dan lawatan Perdana Menteri ke negeri itu hari ini dan esok.

Dalam lawatan kerjanya itu, Anwar dijadual mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Sementara itu Chong yang juga merupakan Ketua DAP Sarawak berkata, sebagai pembangkang di negeri itu, pihaknya akan terus memainkan peranan, memberi tekanan kepada kerajaan negeri untuk menggunakan sebaiknya kuasa diberikan nanti.

Chong harap rakyat dapat manfaat besar
Beliau  mendakwa dapat dilihat banyak perkara di bawah bidang kuasa negeri pada masa lalu telah disalah guna menyebabkan ia hanya memanfaat kumpulan-kumpulan tertentu bukan rakyat secara keseluruhannya.

"Perkara berkaitan tanah misalnya, (isu) sudah lama sejak merdeka di bawah kuasa negeri dan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan tanah tidak memberi manfaat sebenar kepada rakyat… Begitu juga pengurusan hutan," katanya.

 



 

 

Post a Comment

0 Comments