Usaha semai perpaduan tanggungjawab semua, tegas PM



USAHA
menyemai budaya perpaduan dikalangan kaum di negara ini tidak hanya terletak di bahu pemerintah semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2022 yang dikongsikan di laman Facebooknya, Anwar berkata setiap rakyat perlu memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu-padu.

“Mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbezaan perlu dibenam dengan sikap kasih sayang serta rahmah," katanya.

Dalam ucapannya juga Anwar menegaskan hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga dan sahabat setiap tahun.

Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan  setiap kita untuk mengambil kesempatan untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

Lawan kebencian dengan sikap rahmah
“Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada Malaysia, yang terbilang dan rakyatnya yang mencintakan keadilan.

“Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk berwaspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Post a Comment

0 Comments