Sebarkan dakwah dengan tradisi ilmu dan akliah, gesa PM

 


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan Ulama, umara dan guru agama di negara inimenyebar dakwah dengan mempertahan tradisi ilmu dan akliah (akal fikiran (bukan perasaan).
 
Pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana pada Ahad, Anwar turut menggesa sejarah Islam dididik dengan kefahaman serta ditambah dengan kasih sayang.

"Setiap pimpinan negara sama ada Perdana Menteri mahupun menteri-menteri, tidak boleh lepas daripada kerja asas untuk menunjukkan kasih sayang kepada orang Islam dan bukan Islam.

"Dalam kalangan fahaman Islam yang saya faham, kekuatan Islam sebenar adalah menyeluruh iaitu merentasi bukan sahaja manusiawi, haiwan, pohon-pohon, bukit bukau dan juga bumi. Umat Islam yang seimbang adalah umat yang mempertahan kesederhanaan," katanya semasa menyampaikan ucaptama dalam program itu.

Anwar turut berkata, Kerajaan Perpaduan diketuainya hari ini perlu menyelamatkan keadaan bagi meningkatkan darjat orang Melayu dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

Anwar mahu konsep kesederhaan dipertahankan
Beliau yakin hasrat dan impian ini dapat dilakukan dengan pimpinan yang mempunyai ketegasan.

"Ia juga boleh dilakukan melalui sistem pendidikan, meletakkan anak muda yang mempunyai kefahaman jelas untuk memimpin dan melalui sistem sekolah agama, pondok dan tahfiz.

"Bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan kefahaman membina dan bukan merobohkan. Memang senang untuk merobohkan tapi sukar untuk membina," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments