PM dijangka bentang belanjawan mini untuk perbelanjaan kerajaan


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengusulkan rang undang-undang (RUU) "belanjawan mini" yang dianggarkan bernilai RM55.96 bilion untuk perbelanjaan kerajaan.

Malaysiakini dalam laporannya berkata, usul itu berada dalam turutan perkara kesembilan pada kertas aturan Dewan Rakyat untuk prosiding hari ini yang berkemungkinan ia akan dibentangkan di parlimen pada Selasa.

"Berdasarkan kertas aturan itu, belanjawan mini akan dibiayai daripada kumpulan wang pembangunan negara mengikut Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan.

"Kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat tidak menyatakan subseksyen mana yang akan digunakan, tetapi ia berkemungkinan Seksyen 4(2)(a) yang membenarkan belanjawan tambahan untuk perbelanjaan tidak dirancang dibentangkan," kata laporan itu dipetik.

Terdahulu pada 24 November lalu, Anwar menjelaskan bahawa beliau akan membentangkan usul bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Kelulusan emolumen itu jelasnya penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.

"Untuk bajet, kita perlu luluskan emolumen terlebih dahulu pada 19 Disember, supaya penjawat awam kita tidak bimbang," kata Anwar dalam sidang media pertamanya selepas dilantik mengetuai kerajaan.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu di Dewan Rakyat.

Bajet itu walau bagaimanapun tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Belanjawan mini untuk gaji penjawat awam


Anwar dalam sidang media sebelum ini turut mengandaikan pembentangan Bajet 2023 secara menyeluruh akan dibuat pada Januari, selepas semakan bajet dilakukan.

 
Hari ini Parlimen akan  bersidang buat pertama kali selepas pilihan raya umum ke-15, bermula dengan pemilihan speaker Dewan Rakyat baru dan majlis ahli parlimen mengangkat sumpah.

Ia seterusnya akan disusuli usul undi percaya terhadap Anwar yang akan dibentangkan oleh salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri.

Post a Comment

0 Comments