PM beri arahan jelas kepada menteri susulan kejadian tanah runtuh


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan jelas supaya misi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali dilakukan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.

Melalui satu kenyataan, Anwar memaklumkan menteri-menteri terlibat akan turun ke lokasi, namun menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat.

"Dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor terkait misi mencari dan menyelamat," katanya menerusi kenyataan.

Kejadian tanah runtuh meliputi kawasan seluas sekitar satu ekar (0.4 hektar) dilapor berlaku kira-kira jam 3 pagi tadi di Father's Organic Farm berhampiran jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands

Pasukan penyelamat dari Selangor dan Pahang turut serta dalam pencarian.

Setakat ini, lapan maut manakala 60 orang lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh awal pagi ini.

Anwar mohon doa rakyat agar misi berjaya


Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm).
 
"Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini," katanya Anwar dalam kenyataan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments