Dakwaan BN nak kaji semula kerjasama adalah fitnah


DAKWAAN kononnya Barisan Nasional (BN) akan mengkaji semua kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar dan fitnah.

Perkara itu dinafikan sendiri Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan melalui satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

"Kepalsuan di merata alam. Ini kenyataan fitnah dan bohong," katanya.

Terdahulu tersebar satu kenyataan media bertarikh 8 Disember menggunakan nama Ahmad Maslan kononnya UMNO mahu mengkaji semula kerjasama susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai dan DUN Tioman Rabu lalu.

Berdasarkan kenyataan palsu itu keputusan di dua kerusi itu membuktikan orang Melayu tidak menerima kerjasama antara BN dan HARAPAN.

Kenyataan itu juga menyatakan keputusan dua PRK itu menyaksikan UMNO yang dianggap pelindung dan pembela orang Melayu semakin hilang sokongan.

Keadaan itu dianggap boleh menyebabkan UMNO terus dipinggirkan dan membahayakan masa depan dan kelangsungan parti itu.

Sebagai rekod, susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menyaksikan tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan secara bersendirian, BN yang ditunjangi UMNO membuat keputusan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan HARAPAN.

Penganalisis melihat keputusan BN itu sebagai tepat kerana blok itu akan lebih berdaya saing berbanding jika memilih bersama Perikatan Nasional (PN).

Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor dipetik laporan Awani berkata, kerjasama politik itu disifatkan baik, mampu bertahan lama dan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

Ada pihak cuba 'apikan' penyokong Umno?
"BN dan HARAPAN mereka tidak berebut kawasan yang sama. HARAPAN popular di bandar dan elit urban sementara UMNO luar bandar dan kawasan majoriti Melayu.

"Bila HARAPAN berpakat dengan BN untuk menubuhkan kerajaan nampak gayanya lebih berdaya saing dan bertahan lama. Mungkin boleh dikompromikan," jelasnya.

Sementara jika BN bekerjasama dengan PN, mereka jelasnya akan berdepan masalah kerana merebut komposisi masyarakat yang sama iaitu kawasan majoriti orang Melayu baik BN, Bersatu ataupun PAS.

Post a Comment

0 Comments