BNM digesa gembeleng usaha perangi scammer



BANK NEGARA MALAYSIA (BNM) digesa menggembleng usaha memerangi sindiket penipuan wang dalam talian.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim berkata, usaha bersama pihak berkuasa lain itu boleh dilakukan dengan merangkumi beberapa penelitian melibatkan aspek keselamatan pendeposit seperti pemulangan wang mereka dan tindakan undang-undang ke atas pelaku jenayah berkenaan.

“Saya minta BNM sebagai pihak berkuasa sektor perbankan bergembleng dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) teliti aspek keselamatan, respons dan pemulangan wang yang ditipu, jaminan kepada pendeposit dan hukuman atas pesalah," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu memaklumkan beliau bertemu Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar bagi membincangkan isu berkenaan semalam.

"Selepas saja Parlimen meluluskan belanjawan sementara, saya meluangkan lebih dua jam di BNM bersama Marzunisham tentang penipuan kewangan.

“Benda ini dekat dengan hati saya sebab ini melibatkan wang hasil keringat rakyat, “ katanya lagi.

Steven turut minta BNM kaji perkongsian liabiliti
Dalam pertemuan itu, Steven telah meminta BNM mengkaji perkongsian liabiliti secara adil antara bank dan pendeposit supaya bukan hanya sebelah pihak terpaksa menanggung kerugian atas jenayah yang berlaku.

"Saya tahu bukan mudah, cabaran ini bukan sahaja di Malaysia, juga di negara-negara lain tapi kita perlu cuba sedaya upaya,” kata beliau sambil berharap proses aduan, siasatan dan pemulangan wang turut akan dipertingkatkan.

Post a Comment

0 Comments