Bekas wakil rakyat mahu JAKIM siasat kenyataan Presiden PAS

 

SEORANG pemimpin KEADILAN negeri Terengganu menempelak kenyataan  Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkaitan ‘dosa’ jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi.

Azan Ismail yang merupakan bekas wakil rakyat negeri itu berkata, Abdul Hadi sepatutnya tidak terhad komen kepada isu berdosa tidak mengundi.

Dia juga jelasnya perlu menjawab isu pengundi dipaksa bersumpah dengan nama Allah dan diberi duit untuk mengundi PAS–PN dalam pilihanraya lalu.

“Hadi kena jawab dahulu mana yang lebih berdosa antara jemaah haji atau umrah tidak mengundi atau guna sumpah dengan nama Allah dan kemudian dapat duit untuk PAS raih undi.

“Mana yang lebih mustahak besar dosanya kerana isu ini melibatkan penyelewengan akidah umat Islam.

“Hadi kena buat penjelasan kepada rakyat Malaysia kerana ia perbuatan rasuah pengundi, dan jauh lebih besar mudaratnya,” katanya.

Azan sebelumnya mengulas rakaman video tular ketika kempen pilihan raya lalu yang menunjukkan beberapa individu didakwa diminta bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka mengundi PAS.

Dalam rakaman berkenaan individu yang bersumpah kemudian diberikan bayaran tambang perjalanan pulang mengundi. PAS walau bagaimanapun kemudian menafikan terlibat.

Terdahulu Abdul Hadi memberi pesanan khusus kepada bakal jemaah haji dan umrah dengan mengingatkan mereka terhadap kewajipan mengundi dalam pilihan raya.

Kenyataannya Naib Presiden Perikatan Nasional itu yang dimulai dengan memetik ayat al-Quran mengenai amaran seksaan terhadap orang Islam yang enggan “berjuang” serta kemungkinan mereka akan digantikan dengan kaum yang lain dipetik dari laporan media antara lain berbunyi “Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ain dan hendaklah diutamakan,"

Dalam kenyataan yang dibuat menjelang pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri itu, Abdul Hadi turut menggesa pengundi 'mengembalikan semula kuasa Islam' dari ancaman 'orang kafir'

“Kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelusuk dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita ini dengan menyokong DAP dan kumpulannya.

“Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus. (Ini) menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah.

Azan tanya, apa dosa beri rasuah untuk mengundi?
“Keadaan ini (dibimbangi) mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah,” katanya sambil memetik ayat 15 dan 16 surah al-Anfal.
 
Lanjutan daripada isu dosa tidak mengundi kerana menunaikan haji, Azan menggesa agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan pendapat mahupun mengambil tindakan di atas kenyataan-kenyataan Presiden PAS itu yang dianggap keterlaluan.

Ujarnya lagi, ini bukan kali pertama pemimpin PAS itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Post a Comment

0 Comments