Menang dulu baru bincang kerjasama politik dengan GPS - Anwar



SEBARANG
perbincangan berkaitan kerjasama politik termasuk dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya akan diadakan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada satu sidang media di Kuching pada Sabtu, Anwar menegaskan fokus gabungan pimpinannya ketika ini adalah untuk memenangi pilihan raya umum pada 19 Nov ini terlebih dahulu.

Justeru tambahnya, rakyat terutama di Sarawak sendiri wajar memberi sokongan kepada calon HARAPAN dalam PRU kali ini supaya mereka boleh bekerjasama sebagai satu pasukan “negeri- persekutuan” bagi mempertahankan kepentingan penduduk di Malaysia Timur.

“Ketika ini kita perlukan wakil HARAPAN yang kuat di Sarawak dan Sabah. Kita perlukan ini supaya kita boleh mendapat pandangan di akar umbi di kedua-dua negeri,” katanya dalam sidang media itu.

HARAPAN sebelum ini menegaskan mereka tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan sekiranya tidak memperolehi majoriti mudah pada 19 November ini, sebaliknya mereka lebih berminat untuk bekerjasama dengan parti politik dari Malaysia Timur.

Langkah itu dilihat dapat memastikan pengagihan atau penurunan kuasa antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk memperkasakan negara dapat berjalan dengan baik.

HARAPAN akan laksana perjanjian MA63
Bagaimanapun, kata Anwar, penurunan kuasa adalah berasaskan terma dan syarat yang jelas bagi mengelak pembaziran dan rasuah.

“Ketika ini terlalu banyak kuasa diberikan golongan elit dan Sarawak tidak terkecuali. Ada ahli politik yang mengayakan diri mereka dengan menggunakan wang rakyat.

“Atas sebab itu, kerjasama antara persekutuan dengan kerajaan negeri adalah penting,” katanya sambil mengingatkan bahawa pilihan raya kali ini penting dan kritikal untuk menentukan landskap politik negara.

Post a Comment

0 Comments