PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) akan melaksana naik taraf keseluruhan sistem LRT sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November ini.
Bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengulas penutupan 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya selama seminggu susulan kerosakan sistem kawalan automatik berkata, sudah tiba masa untuk negara mempunyai sistem pengangkutan awam yang selamat dan boleh dipercayai.
“Sistem LRT Kuala Lumpur sering menghadapi kerosakan (dan) kita memerlukan program jangka panjang untuk menyelesaikannya.
“Jika HARAPAN dapat mengambil alih kerajaan persekutuan semula pada 19 Nov, sistem pengangkutan awam KL akan menjadi keutamaan kami dan kami akan menyelesaikan isu ini secepat mungkin.
“(LRT) bergantung kepada sistem automatik, dan sistem ini menghadapi masalah sekarang. Jadi ia perlu diutamakan dan kerajaan perlu menggunakan lebih banyak sumber untuk membaiki sistem ini atau menggunakan (sistem) yang baharu.” kata Setiausaha Agung DAP itu.
Presiden Prasarana Azharuddin Mat Sah pada sidang media semalam berkata juruteranya tidak dapat mengenal pasti masalah yang menjejaskan sistem kawalan kereta api automatik (ATC) yang menjadi punca kepada masalah.
Mereka menunggu pengeluar peralatan asal sistem rel itu, Thales Group menghantar pasukan dari Kanada untuk menyelesaikan isu ATC.
Susulan penutupan itu, Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong diselar warganet.
Menteri didakwa 'hilang' ketika pengguna terjejas |
Sikap berdiam diri Wee Ka Siong yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) di Raub, Pahang itu turut dipersoalkan beberpa pemimpin pembangkang.
“Di mana Wee?” tanya Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil di Twitter.
0 Comments