Bekas orang kuat JPA nak pastikan HARAPAN tawan Perak


WALAUPUN sebelum ini dinamakan sebagai calon Menteri Besar Perak, namun Datuk Zainal Azman Abu Seman yang dicalonkan Pakatan Harapan (HARAPAN) di DUN Kuala Sepetang enggan merasa selesa.

Zainal Azman yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, fokusnya kini sekiranya diberi mandat oleh rakyat kawasan itu mahu memanfaatkan seluruh pengalamannya untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik.

 
"Perkara ini (calon menteri besar), mungkin telah disebut oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli. Bagaimanapun saya berpandangan perkara ini tertakhluk kepada keputusan pilihan raya nanti.

"Mungkin terdapat calon lain yang boleh dipertimbangkan pucuk pimpinan parti. Berdasarkan pengalaman yang ada, Insya-ALLAH saya dapat beri sumbangan yang baik kepada Perak walaupun sebagai wakil rakyat sahaja atau di lain-lain jawatan," katanya.

Selain bekas Timbalan Pengarah JPA, Zainal Azman sebelum ini pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan kemudian Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Berada dalam perkhidamatan awam selama 28, Zainal Azman juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),  Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara (MKN); Setiausaha Sulit Kanan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar; Pengarah Bahagian Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC).



Pada 3 November lepas, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli secara terbuka memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu adalah antara calon Menteri Besar Perak sekiranya HARAPAN berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Manakala nama Ketua PAS Perak, Razman Zakaria disebut- sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi jawatan Menteri Besar di negeri itu.

Saarani Mohamad pula akan dinamakan semula sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu menguasai DUN Perak, menurut Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu jelas Zainal Azman, kesediaannya bertanding pada PRU15 adalah bagi membantu HARAPAN memperoleh kemenangan bagi membentuk pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dan lebih stabil.

Zainal Azman kaya dengan pengalaman
"Saya berhasrat HARAPAN dapat menang sekurang-kurangnya 35 kerusi daripada keseluruhan 59 DUN," katanya.

Sebagai rekod,  DUN Kuala Sepetang pernah dimenangi calon KEADILAN pada PRU tahun 2008 dan 2013. Namun pada PRU14, calon parti itu tewas kepada BN dengan hanya majoriti 329 undi.

Pada PRU ini, Zainal Azman akan berdepan pertembungan empat penjuru menentang penyandang kerusi berkenaan, Mohd Kamaruddin Abu Bakar daripada BN, Ahmad Man (Perikatan Nasional) dan Norhaliza'awayati Meman (Pejuang).
 

Post a Comment

0 Comments