Mahkamah tentukan nasib Zahid pada 23 Septermber ini

 


MAHKAMAH TINGGI Kuala Lumpur akan menentukan sama ada Presiden Umno akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada 23 Sept ini.

Tarikh itu diputuskan hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas selesai mendengar hujah lisan pihak pendakwaan dan pembelaan selama empat hari bermula 1 Sept lepas.

"(Rekod) hujahan lisan itu perlu dihantar kepada mahkamah sebelum 13 September ini. Kalau hujahan ini tak dihantar, mahkamah akan beri keputusan pada tarikh baharu," kata Mohd Yazid.

Pada 11 Ogos pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani menutup kes itu selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 24 Mei tahun lalu.

Saksi dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh. Dia mendakwa wang diterimanya adalah sumbangan politik dan bukan rasuah.

Pihak pendakwaan semasa penghujahan lisannya memberitahu mahkamah bahawa Zahid yang menerima suapan untuk dirinya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Abdul Malik Ayob berkata, sumbangan yang diserahkan oleh pegawai UKSB kepada Ahmad Zahid adalah secara peribadi dan tidak pernah dibayar ke dalam akaun UMNO walaupun bayaran itu dikatakan untuk sumbangan politik.

Zahid nafi terima rasuah
"Walaupun pihak pembelaan berkata wang itu adalah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah adalah tidak logik untuk mendakwa wang diterima Zahid sebagai sumbangan politik kerana UKSB membuat bayaran bulanan kepada Ahmad Zahid dalam tempoh empat tahun semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.

Post a Comment

0 Comments