Lawan pencuri: Terima kasih dan tahniah rakyat Malaysia



TANGGAL 23 Ogos 2022 dan 1 September 2022 akan tercatat dalam sejarah Malaysia untuk selamanya.

Sejarah ini terhasil dengan perjuangan kolektif rakyat Malaysia yang bangkit pada 29 dan 30 Ogos 2015 menentang salah guna kuasa dan rasuah yang dipimpin dua orang individu, iaitu bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Dalam tempoh masa seminggu yang lalu, dua orang ini dihukum denda dan penjara dan kerana mencuri duit negara.

Kita tidak akan melihat hasil ini sekiranya rakyat Malaysia tidak bersatu padu dalam perjuangan menentang rasuah secara besar-besaran bermula tahun 2015.

Perjuangan ini adalah perjuangan rakyat Malaysia yang telah turun ke jalan raya untuk tanahair tercinta. Kami tidak dapat menyenaraikan kesemua lebih 500,000 rakyat, tapi kami percaya anda tahu siapa anda walaupun tujuh tahun telah berlalu.

Pengorbanaan dan jasa anda akan sentiasa dikenang. Malah, kami juga tidak akan melupai seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan berterusan kepada Bersih 2.0.

Meskipun berdepan dengan ugutan dan pelbagai bentuk intimidasi untuk menghalang rakyat daripada turun ke jalan raya pada 29 dan 30 Ogos 2015, namun rakyat Malaysia memberanikan diri dan tetap turun membanjiri kota Kuala Lumpur untuk menuntut:

  •  Pilihan raya yang bebas dan adil 
  •  Kerajaan yang telus
  •  Hak untuk membantah
  •  Memperkukuhkan demokrasi berparlimen
  •  Menyelamatkan ekonomi
  •  Peletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri


Disebabkan keputusan Najib dan timbalannya Zahid Hamidi untuk cuba menutup agenda rasuah, rakyat Malaysia sekali lagi telah turun ke jalan raya pada tahun berikutnya, iaitu 19 November 2016.

Pada malam sebelum himpunan Bersih 5, pejabat Bersih 2.0 diserbu dan dua orang ditahan. Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, ditahan tanpa bicara selama 10 hari di bawah Akta SOSMA, manakala Mandeep Singh, pengerusi sekretariat, ditahan selama 3 hari.

Perjuangan demi masa depan negara
Perjuangan jalan raya rakyat Malaysia membuahkan hasil pada tarikh keramat 9 Mei 2018, apabila hampir 12.3 juta rakyat telah mengambil tanggungjawab untuk turun mengundi demi menyelamatkan negara kita daripada jatuh ke tangan pencuri dan perasuah.

Kepentingan keluar mengundi dilihat sekali lagi hari ini dan jangan sesekali kita lupai.

Dengan itu, kami sekali lagi mengambil peluang ini pada tarikh bersejarah ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia atas segala sokongan, pengorbanan dan dedikasi anda dalam menuntut keadilan dan memperjuangkan masa depan tanah air yang bebas dari pengaruh pencuri dan perasuah.

Terima kasih dan tahniah Malaysia!


Tulisan ini adalah daripada MARIA CHIN ABDULLAH, mantan Pengerusi Bersih 2.0, Dr TOH KIN WOON dan JAY JAY DENIS mantan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 serta pengurus sekretariat Bersih 2.0, MANDEEP SINGH.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia

Post a Comment

0 Comments