KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani supaya segera menghentikan segala bentuk tekanan dan gangguan terhadap Rafizi Ramli.
Gesaan itu dilontarkan Anwar susulan siasatan polis terhadap Timbalan Presiden KEADILAN itu setelah seorang pegawai Menteri membuat laporan polis terhadapnya berhubung beberapa pendedahan dibuat baru-baru ini.
Dalam kenyataanya juga, Anwar menegaskan bahawa pihak polis sewajarnya juga memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad untuk disiasatan berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang dikaitkan dengannya apalagi banyak laporan polis terhadap Abdul Latiff telah dibuat orang awam.
"Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini termasuk menyiasat Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.
"Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan," tegas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Semalam Rafizi hadir ke ibu pejabat polis daerah Sentul untuk diambil keterangan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu disiasat dibawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008 kerana fitnah jenayah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Telefon bimbit miliknya turut dirampas.
Sementara Abdul Latiff dlapor telah dipanggil untuk memberi keterangan, namun tidak dapat dipastikan apakah siasatan berkaitan dakwaan terbabit skandal itu bakal dijalankan terhadapnya
Rafizi sebelum ini menuduh Latiff dan ahli keluarganya mendapat manfaat daripada projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan.
Pada 26 Ogos, Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan ahli keluarganya tidak mempunyai sebarang kontrak pertahanan semasa menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.
Bagaimanapun Rafizi berkata, Latiff cuma menafikan bahawa seorang individu yang dinamakan dalam dakwaanya adalah isterinya, namun tidak menafikan beberapa perkara penting lain seperti kewujudkan syarikat 'luar pesisir' yang ditubuhkan untuk mendapat kontrak dari projek berkenaan. Anwar tuntut intimidasi dihentikan
"Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun," tambah Anwar dalam kenyataannya.
0 Comments