Usaha lawan rasuah perlu jadi agenda rakyat


KES
mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri yang berkesudahan dengan kedua mereka disabitkan kesalahan rasuah adalah hasil dari gerakan politik 'reformasi' yang dibawa Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mohamad Sabu yang merupakan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) - satu dari parti kompoen gabungan itu berkata, usaha dan transformasi politik dalam sistem pentadbiran Malaysia terutama dalam memerangi rasuah, salah guna kedudukan, salah guna kuasa dan salah guna harta rakyat telah membawa perubahan signifikan kepada negara yang jelas selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Usaha secara besar-besaran sebelum ini bukan tidak ada, tetapi ia lebih signifikan selepas perpindahan kuasa rakyat pada 2018.

“Malaysia seharusnya berada setaraf dengan Korea Selatan jika tiada kebocoran yang berleluasa.

"Menurut ahli-ahli ekonomi, dianggarkan kebocoran yang berlaku di Malaysia lebih daripada RM60 bilion setahun,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan sementara itu menggesa usaha melawan budaya rasuah dapat terus diperjuangkan untuk masa depan negara yang lebih baik.

Mohammad turut membandingkan pencapaian negara-negara jiran yang perlu dicontohi oleh Malaysia yang terhasil dari usaha melawan rasuah. Malah mengingatkan bahaya rasuah yang boleh menjatuhkan sesebuah negara seperti yang berlaku di Sri Lanka.

“Kita lihat negara jiran terdekat seperti Indonesia, hasil mahsulnya tidak terlalu besar tetapi kebocoran amat rendah, menyebabkan mereka mempunyai 'reserve' yang tinggi. Kita boleh lihat bagaimana Singapura mempunyai Dolar yang kuat, jauh meninggalkan Malaysia.

Amalan rasuah boleh jahanamkan negara
"Kita berharap generasi yang akan datang dapat menikmati keadaan ekonomi lebih baik, hidup lebih selesa jika dibandingkan pada masa lalu.

“Ayuh rakyat Malaysia, teruskan perubahan. Tekadkan supaya memerangi rasuah menjadi agenda utama rakyat (supaya) negara kita akan lebih selamat, bahagia dan lebih makmur pada masa akan datang,” ujarnya. 

 

Post a Comment

0 Comments