Jangan permainkan perintah Raja-Raja Melayu, kata tokoh wartawan


 TINDAKAN pihak tertentu yang memohon pengampunan diraja kepada bekas Presiden Umno, Najib Razak yang dihukum penjara kerana rasuah dikritik tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Kadir beranggapan tindakan pihak berkenaan seolah-olah mempermainkan perintah Raja-raja Melayu yang mahu tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak terlibat dalam kes rasuah membabitkan dana RM42 juta SRC International.

“Kalau kita ingat lagi, pada 6 Oktober 2015, Raja-raja Melayu telah keluarkan satu kenyataan media mahukan kerajaan selesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan ambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak terlibat.

“Tapi sekarang, setelah didapati bersalah dan dimasukkan ke dalam penjara, Najib minta pula Yang di-Pertuan Agong ampunkan dia,” katanya.

Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri kini sedang merengkok di Penjara setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International.

Sehari selepas Najib dihantar ke Penjara Kajang, kumpulan penyokongnya berhimpun di luar Istana Negara bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka yang kebanyakkanya berpakaian hitam mendakwa bekas pemimpin mereka itu tidak mendapat layanan yang adil dari mahkamah.

Kadir Jasin beranggapan titah Agong dipermainkan
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 27 Ogos pula menggesa supaya pengampunan diraja diberikan kepada Najib. Sehari kemudian gesaan Zahid disambut Umno Perak apabila mereka dilapor mahu memulakan kutipan tandatangan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Najib sendiri memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September lalu.

Post a Comment

0 Comments