Protes bantah skandal LCS bakal diadakan esok

SATU perhimpunan bagi membantah  projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) dijadualkan akan diadakan di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Jawatankuasa Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)? dalam kenyataan berkata, protes yang berlangsung pada jam 2 petang di luar perkarangan pusat beli belah Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman akan mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

Mereka menuntut kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja susulan laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek itu.

Kumpulan itu juga menggesa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan di atas kegagalan mengambil tanggungjawab terhadap projek bermasalah berkenaan yang menyaksikan berlaku penangguhan berulang kali selama bertahun-tahun.

“Tindakan Hishammuddin sebagai menteri pertahanan ketika itu dan sekarang meletakkan risiko kepada keselamatan negara,” kata mereka dalam kenyataan.

Projek LCS mendapat perhatian selepas laporan PAC dikeluarkan yang antara lain mendapati tidak ada sebuah pun kapal itu disiapkan walaupun Putrajaya sudah membelanjakan RM6 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh juga berkata, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Sdn Bhd mengenepikan pandangan tentera laut berhubung projek terbabit.

Tambah jawatankuasa tersebut, pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir kepada enam kapal LCS amat penting dalam memastikan tidak ada kompromi terhadap isu keselamatan negara.

“Malangnya setiap satu dari 10 surat teguran, surat tidak puas hati dan surat untuk memaklumkan pendirian TLDM telah diabaikan.

“Jika surat dari Panglima Tentera Laut dibakulsampahkan oleh kerajaan Malaysia, maka ia adalah gambaran kerajaan yang tidak mementingkan suara mereka yang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Skandal LCS dianggap ancam kedaulatan
“Maka, jawab surat Panglima TLDM,” ujar mereka.

Bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar ketika dipanggil PAC menyatakan rasa kesalnya apabila kebimbangan disuarkannya berhubung projek terbabit tidak dihiraukan.

Abdul Aziz mendakwa  menghantar 10 surat iaitu lima surat kepada Kementerian Pertahanan, satu kepada setiausaha perbendaharaan, satu kepada ketua setiausaha negara dan dua kepada perdana menteri sebagai menyatakan kebimbangannya itu.

“Rakyat berhak mendapatkan ketelusan dan akauntabiliti daripada kerajaan bagi memastikan tidak ada lagi wang rakyat disamun dan tidak ada lagi pihak yang menjual keselamatan negara kerana tamakkan wang ringgit,” jelas kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments