KETUA Pembangkang di DUN Perak, Abdul Aziz Bari menggesa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang supaya berpijak di bumi nyata dan tidak menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan politik.
Abdul Aziz yang merupakan pakar Perlembagaan berkata itu ketika mengulas kenyataan Abdul Hadi berkenaan kononnya golongan bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara apabila sebahagian besar mereka menurut Abdul Hadi adalah pelaku rasuah di negara ini.
Menyelar dakwaan itu, Abdul Aziz berkata, dakwaan itu adalah karut serta berbaur perkauman.
"Komen itu menunjukkan PAS sebuah parti politik yang tidak berpijak di bumi nyata dan tidak layak untuk mentadbir. Sebagai tok guru Abdul Hadi sepatutnya berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar bukannya bermain politik perkauman.
"Rasuah adalah masalah di banyak negara sejak berzaman sepanjang sejarah dan tidak terhad kepada orang Islam atau bukan Islam ," katanya.
Abdul Hadi sebelum ini dikritik susulan kenyataannya yang dianggap liar tanpa bersandarkan fakta dan angka sahih bagi membenarkan dakwaanya itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii mengingatkan Abdul Hadi supaya tidak menghasut perpecahan dan menimbulkan permusuhan sesama kaum.
Isu rasuah yang cuba dibangkitkan Abdul Hadi jelasnya bukan isu kaum pelakunya, sebaliknya berpunca dari ketamakan dan masalah sistemik dan institusi di negara yang membolehkan amalan seperti itu terus berleluasa.
"Jadi, daripada membuat kenyataan berdasarkan anggapan yang boleh menyebabkan perpecahan, Abdul Hadi sepatutnya bersatu menentang rasuah.
"Bayangkan jika seorang bukan Islam membuat penghinaan yang sama, polis berkemungkinan akan mengetuk pintu mereka pada pukul 4 pagi," kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Tambahnya berdasarkan kenyataan bersikap perkauman itu, Abdul Hadi tidak lagi berhak untuk menjadi sebahagian daripada politik arus perdana.
Selain mereka, kenyataan Abdul Hadi menarik perhatian Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang.
Berpandangan bahawa Abdul Hadi tidak dapat memahami dengan jelas isu rasuah yang melanda di negara ini, rakyat jelasnya tidak dapat berharap kepada Ahli Parlimen Marang itu untuk mencari jalan penyelesaiaan kepada permasalahan itu.
Abdul Hadi tak boleh diharap selesai isu rasuah |
"Rakyat daripada semua kaum dan agama terlibat dalam rasuah. Jika Abdul Hadi nak tahu masyarakat mana yang menjadi sebahagian besar daripada pengamal rasuah, dia harus melihat rekod mahkamah dan mendedahkan siapakah mereka yang didakwa dan disabitkan dalam pertuduhan rasuah," tegasnya.
0 Comments