Bersih lancar petisyen mohon Agong tak ampunkan Najib


SATU petisyen memohon supaya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mengampunkan Najib Razak telah digerakkan secara dalam talian.

Petisyen tersebut yang dimulakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dibuat atas alasan Najib telah membawa aib kepada negara.

Tambah mereka, Najib Razak baru sahaja didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi negara tetapi ada pihak yang sudah mula memikirkan untuk memohon pengampunan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan perkara itu tegas mereka tidak wajar dibiarkan.

"Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

"Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini.

"Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapapun pelakunya.

"Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa," menurut teks petisyen itu.

Sehari selepas Najib dihantar ke penjara kerana bersalah dalam kes melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, sekumpulan penyokong tegar Najib berhimpun di hadapan Istana Negara bagi menghantar memorandum bagi memohon pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri itu.

Tindakan dilakukan Najib telah malukan negara


Wakil kumpulan itu, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz turut mendesak campur tangan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan proses pengampunan diraja.


"Pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia iaitu PM harus memberi satu surat kepada baginda untuk pengampunan Najib," katanya. 

Setakat tengah malam tadi, petisyen itu berjaya mengumpul 68,000 tandatangan.


 

Post a Comment

0 Comments