MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin dibidas susulan kenyataannya mengenai laporan kematian di pusat tahanan imigresen.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ram Karpal Singh berkata, kenyataan wakil rakyat Bersatu itu meremehkan laporan dibuat oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia.
“Kenyataan mengarut Hamzah, terutamanya apabila menangani isu berkaitan warga asing, gagal mencetuskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan kita mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia.
“Tidakkah Hamzah sedar bahawa intipati kebimbangan dalam laporan itu bukan mengenai ‘meramalkan’ kematian, tetapi mengenai keadaan yang mengejutkan di pusat tahanan,” kata pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP itu.
Sabtu lepas, sebuah kumpulan NGO Indonesia, Koalisi Buruh Migran Berdaulat (KBMB) mengeluarkan laporan yang menyatakan bahawa kedutaan Malaysia di Jakarta merekodkan kematian 149 warga Indonesia di lima pusat tahanan di Sabah dalam tempoh 18 bulan antara 2021 dan 2022.
Menurut laporan itu, keadaan yang teruk di pusat terbabit menyebabkan kesihatan tahanan merosot dan mereka tidak dirujuk ke hospital apabila jatuh sakit.
Hamzah ketika bercakap di Putrajaya sebagai mengulas laporan itu berkata "orang ramai tidak harus cepat menuding jari kepada pihak berkuasa.
"Kalau kita sudah tangkap orang melakukan kesalahan letak dalam depot kemudian dia mati, kita nak salahkan pada siapa?
"Orang mati sekarang ini kadang-kadang tengah berjalan dia mati, tidak payah masuk depot pun mati. Jadi tidak timbul isu itu.” katanya dipetik laporan media.
![]() |
Apakah menteri tiada rasa empati? |
Tegasnya Hamzah seolah-olah membayangkan bahawa kematian dalam tahanan adalah “kejadian biasa” di luar kawalan kerajaan sedangkan KBMB itu mewajarkan siasatan menyeluruh tentang layanan terhadap individu dalam tahanan.
Sebarang kematian dalam tahanan sepatutnya menimbulkan kebimbangan, tegas Yi Leong sambil menggesa Hamzah meletak jawatan berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai “amat mengejutkan” itu.
Yi Leong sementara itu turut mahu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat keadaan di pusat tahanan imigresen dengan mendakwa wujud amalan rasuah yang berleluasa dalam jabatan itu dan peningkatan jumlah kematian di pusat tahanan.
“Jika kerajaan pimpinan Ismail masih percaya dengan hak asasi manusia, saya menyeru (beliau) supaya segera memecat Hamzah Zainudin sebagai menteri dalam negeri,” katanya lagi.
0 Comments