CADANGAN Najib Razak supaya menggesa kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB) yang kini berdepan risiko muflis melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Khazanah Nasional (Khazanah) dibidas Rafizi Ramli.
Naib Presiden KEADILAN itu berkata, Najib memberi alasan rakyat yang memiliki institusi seperti Petronas atau Khazanah akan kerugian besar jika SEB tidak diselamatkan.
“Selepas kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.
“Rekod pentadbiran UMNO dan BN, terutamanya semasa Najib menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila UMNO dan BN merasakan mereka kuat dan tidak tercabar,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, tidak adil untuk kerajaan membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan.
Lebih-lebih lagi katanya, apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion ringgit telah pun disuntik ke dalam SEB sejak lebih sedekad lalu.
“Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, SEB terus mengalami masalah kewangan ketika harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik).
“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.
“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” jelasnya bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Sementara itu Rafizi memberi amaran akan terus memantau isu berkenaan dan membentangkan angka-angka untuk mengingatkan rakyat agar jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi Najib.
![]() |
Najib dalam radar perhatian Rafizi |
“Sekembalinya saya ke arena politik, Insya-ALLAH setiap idea songsang Najib akan menerima maklum balas daripada saya,” tegasnya
0 Comments