PEGUAM yang mewakili pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh didakwa menghina mahkamah.
Manjeet Singh Dhillon berkata begitu susulan tindakan seorang pegawai suruhanjaya itu membuat laporan polis terhadap Lalitha yang dakwanya berbohong di mahkamah melalui afidavit, berhubung dia menjadi penyelidik Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center).
Jelas Manjeet, perkara utama laporan itu adalah sebahagian daripada tindakan mahkamah sivil yang sedang berjalan antara anak guamnya dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Di bawah undang-undang Malaysia, pihak dalam saman sivil boleh memohon untuk memulakan prosiding komital terhadap pihak lain yang didakwa tidak menghormati badan kehakiman, seperti melalui kenyataan atau sebarang tindakan lain yang menyentuh tindakan undang-undang yang sedang berjalan.
Jika komital berjaya, mahkamah boleh mengenakan penalti seperti denda atau penjara ke atas orang yang didapati telah melakukan penghinaan mahkamah.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Manjeet berhujah bahawa jika SPRM memang membuat laporan polis, maka pembuat laporan itu telah "cuba merampas peranan hakim yang dijangkakan dalam perbicaraan yang dijangkakan dan bukti yang dijangkakan" (dalam saman sivil Azam terhadap Lalitha).
Peguam itu berkata sebarang laporan polis sebegitu akan menjadi "tindakan angkuh oleh SPRM".
“Mereka (SPRM) perlu berhenti mengganggu Lalitha dan membiarkan proses kehakiman berjalan seperti biasa. SPRM dan pegawainya harus bertindak dengan berhati-hati dan menjauhi perkara ini, supaya mereka tidak melanggar undang-undang menghina mahkamah.
“Plaintif, Azam Baki, adalah ketua pesuruhjaya SPRM. Lalitha ialah seorang wartawan penyiasat. Dia mempunyai peguam caranya. Peguam masing-masing akan menguruskan semua perkara di mahkamah.
“Baik SPRM mahupun pegawai SPRM yang membuat laporan itu bukan peguam cara Azam Baki.
"SPRM tidak mempunyai hak untuk mengulas atau merampas kuasa mana-mana hakim perbicaraan atau menhebahkan secara awal mengenai kemungkinan bukti dalam perbicaraan," kata Manjeet.
Azam menjadi tumpuan berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu dan 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Peguam dakwa SPRM 'bersikap angkuh' |
Kemudian pada 18 Jan, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan siasatannya terhadap kes itu dan ia tidak dapat memastikan secara muktamad jika berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Industri Sekuriti (Depositori Pusat) Akta 1991 (SICDA).
Bagaimanapun, susulan kritikan, SC menjelaskan bahawa ia mendapati bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri dan ia tidak menemui bukti perdagangan proksi.
Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 menimbulkan persoalan sama ada ia setimpal dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.
0 Comments