Tak mungkin HARAPAN terima pindaan RUU yang akan tekan rakyat


KETUA PEMBANGKANG
, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mustahil bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) menerima pindaan rang undang-undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam satu sidang media di Parlimen Siang tadi, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan hukuman yang ditetapkan di dalam pindaan berkenaan sangat membebankan rakyat dan sama sekali tidak boleh diterima.

Justeru HARAPAN sama sekali tidak boleh menerima kenaikan kadar kompaun yang sangat membebankan rakyat.

“Cadangan Kementerian Kesihatan naik kompaun RM1,000 ke maksimum RM10,000 ini mustahil kita boleh terima,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu adalah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun mengumumkan sidang yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehari ke Isnin depan untuk membahaskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi menaikkan kadar penalti.

Untuk rekod, Akta 342 kini memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan denda sebanyak RM1,000 bagi individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti tidak memakai pelitup muka di tempat umum.

Melalui pindaan dicadangkan itu, pesalah mungkin berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
 
Anwar bagaimanapun menegaskan terdapat kelemahan dalam RUU itu yang menyebabkan kerajaan dilihat seakan-akan terburu-buru membuat pindaan.

“Pertama, soal kompaun yang membebankan, kedua penguatkuasaan dan ketiga kompaun bagi syarikat terlalu umum, termasuk persatuan, pertubuhan, parti dan sebagainya, tambahnya lagi.

Sementara itu, Guan Eng menegaskan bahawa usaha untuk melawan pandemik haruslah berteraskan inisiatif di mana pihak kerajaan menjalankan usaha pencegahan dan bukan semata-mata bergantung pada hukuman sahaja.

Ini kerana katanya, ia akan membebankan rakyat dan sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.

“Kita lihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  dan ‘total lockdown’ begitu lama tapi tak berjaya mengawal Covid-19. Yang penting, kita perlu buat SOP tanpa ada penganiayaan. Mesti ada kepimpinan melalui tauladan,” tambahnya yang menegaskan sekiranya SOP yang dibuat kerajaan gagal, ia harus bertanggungjawab, bukannya menyalahkan rakyat dan mengenakan kompaun membebankan.

Denda bukan satu-satunya cara didik rakyat
Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu pula berpendapat, undang-undang yang ditetapkan dalam pindaan Akta 342 itu sangat meragukan.

“Di sini kita lihat, (program aspirasi) Keluarga Malaysia didenda RM1000. Kami yang nak datang Parlimen pernah didenda RM1,000 seorang. Tambah dengan undang-undang begini diperkenalkan, saya ragu dengan kekuatan kerajaan yang ada. Pelaksanaannya sangat penuh ragu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments