MAHKAMAH Rayuan dipengerusikan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil hari ini mengekalkan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas panel tersebut mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Karim, bersama-sama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak semua rayuan Najib untuk mengetepikan kesemua tujuh pertuduhan terhadapnya dalam kes berkenaan.
Tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan.
Najib dituduh menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Perdana Menteri dengan memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM4 bilion dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC International.
Panel hakim hari ini memutuskan bahawa Mohd Nazlan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan salah dalam mengarahkan Najib membela diri.
Panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.
Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.
Beliau turut memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan bagi menyukarkan pengesanan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.
Keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim |
Abdul Karim berkata dakwaan pembelaan kewujudan derma dari Arab yang masuk ke akaun Najib adalah tidak boleh dipertahankan dan tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu dideposit ke akaun SRC yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan jika ia sememangnya derma dari Arab.
0 Comments