DAP secara rasmi menutup segala pintu rundingan bagi menjalin kerjasama dengan parti pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata tindakan itu diambil kerana mereka bimbang terhadap parti terbabit yang mungkin berpaling tadah dan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas pilihan raya nanti.
"Matlamat mereka sudah jelas iaitu hanya mahu menjadi kerajaan.
"Ada kemungkinan yang besar untuk calon mereka berpaling tadah kalau menang , atau mungkin parti itu sendiri akan mengubah pendirian (menjadi penyokong GPS).
"Justeru sebarang kerusi yang diberikan kepada PSB mungkin akan menjadi pertembungan persahabatan di antara parti itu dengan GPS," katanya pada sidang media di Sibu hari ini.
Sebagai rekod, PSB asalnya dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu yang berpihak kepada BN.
Bagaimanapun ketika GPS ditubuhkan selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengalahkan BN dalam PRU ke-14 pada 2018, PSB tidak disertakan dalam gabungan tersebut (BN).
Pun begitu PSB kekal bersama dengan kerajaan negeri yang dipimpin GPS sehinggalah mereka menjadi pembangkang pada 2019.
Selain bimbang PSB akan mungkin berpaling tadah, Chieng Jen turut berkata DAP melihat PSB kurang ikhlas dalam rundingan yang dijalankan.
Katanya, DAP telah menunjukkan keikhlasan berunding untuk mengelak pertembungan dengan PSB, namun tidak dibalas dengan sewajarnya apabila DAP belum menerima apa-apa makluman daripada PSB berhubung rundingan tersebut.
“Kami semakin hampir dengan hari penamaan calon, Jadi kami fikir PSB telah menolak untuk bekerjasama dengan kami,” katanya.
Usaha jalin kerjasama ditamatkan |
Susulan itu DAP akan bertanding di kawasan Dudong dan Bawang Assan, yang sebelum ini kedua-dua kerusi berkenaan turut dituntut PSB.