DAKWAAN bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengenai RM42 juta dalam akauan peribadinya sebagai wang derma Arab adalah dongengan, menurut Mahkamah Rayuan.
Dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.
Tegas mereka, dana RM42 juta dalam akaun itu datang daripada SRC International Sdn Bhd, dan ia telah dibuktikan.
Dakwaan kononnya wang itu adalah derma Arab tegas mereka lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam. Ia bukan hanya tidak ada kredibiliti malah dongeng ini bercanggah dan ditolak oleh keterangan berdokumen.
"Perayu (Najib) mendakwa bahawa beliau mengandaikan dana yang masuk ke dalam akaunnya itu adalah derma daripada keluarga Diraja Arab.
"Bagi menyokongnya, rujukan dibuat kepada beberapa surat bertulisan Arab yang dikatakan ditulis oleh Putera Arab Saudi Abdulaziz Al-Saud bagi pihak Raja Arab Saudi.
"Bagaimanapun penulisnya tidak dipanggil, dan ketulenan surat-surat ini tidak dibuktikan dalam perbicaraan ini. Kandungan surat-surat ini adalah keterangan dengar cakap yang tidak diterima masuk," tegas mereka.
Pada Rabu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 jut dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Najib telah mengarahkan peguamnya mengemukakan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Dakwaan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi itu merupakan penjelasan utama Najib terhadap jumlah wang di akaunnya antara 2011 dan 2015.
“Bukti menunjukkan yang sejak akhir 2014 hingga awal 2015, kira-kira RM136 juta telah digunakan oleh perayu walau dia percaya hanya RM49 juta yang masuk, menurut (apa yang didakwa sebagai) surat Arab keempat.
“Maka, kami setuju dengan hujah pendakwa yang bijaksana yang keadaan berhubung surat Arab keempat jelas menunjukkan yang ia adalah palsu dan perayu tidak sejujurnya percaya yang RM49 juta datang daripada keluarga diraja Arab,” kata para hakim.
Kisah derma Arab tak ada kredibiliti |
“Namun, seperti yang disentuh oleh hakim perbicaraan yang bijaksana, bukti menunjukkan perayu ada pengetahuan yang memadai berkenaan status akaun banknya pada masa itu, atau daripada pengetahuan dan niat tidak jujur yang boleh disimpulkan, seperti yang disebut tadi, jelas menindakkan hujah ini,” kata mereka.