ADUN diarah keluar dewan kerana isu 'harga mahal'


GARA-GARA isu kenaikkan harga barang, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diarahkan keluar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

Speaker DUN Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid mengarahkan Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang merupakan Adun Hulu Kinta dari KEADILAN keluar dewan setelah enggan duduk dan terus berucap walaupun telah diarahkan berhenti oleh timbalannya Khalil Yahaya sebelum itu.

Dipetik laporan Bernama, Kekecohan bermula apabila Muhamad Arafat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri Abdul Yunus Jamahri mengenai isu kenaikan harga barang semasa sesi penggulungan.

Khalil yang mengendalikan persidangan ketika itu memberi kata dua sama ada Adun Hulu Kinta itu mahu duduk atau keluar berehat sebentar di kantin.

Bagaimanapun, Mohamad Zahir yang masuk menggantikan Khalil mengendalikan persidangan tersebut terus membuat keputusan mengarahkan Muhamad Arafat untuk keluar dewan.

Adun Hulu Kinta itu kemudiannya keluar dewan sambil diiringi oleh Bentara dewan.

Pada Selasa, Muhamad Arafat mencuri tumpuan apabila memegang seekor ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ untuk mengulas isu harga barangan terutama ayam segar yang mengalami peningkatan sejak akhir-akhir ini.

Muhamad Arafat berkata ayam itu sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga Adun Semanggol.

Ketika itu beliau mendakwa, sepanjang dewan bersidang, tiada tindakan yang diambil oleh Razman dalam menangani isu berkenaan di peringkat negeri.

“Hadiah kepada (ADUN) Gunung Semanggol sebab resit ini, ayam ini dari Gunung Semanggol, saya beli dekat sana.

“Maknanya dalam resit ini sebelum 7 hari bulan, harga ayam di Semanggol sendiri sudah mencecah RM10 lebih.

Arafat sebelum ini bawa ayam masuk dewan


“Apa yang berlaku di Gunung Semanggol sendiri sangat menyusahkan rakyat, merunsingkan rakyat soal harga barang.  Saya terpaksa bawa ayam ini kerana sejak minggu lepas sampai sekarang, satu tindakan tidak diambil oleh Exco.


“Kita tak nampak, apa Exco telah lakukan? Ada tak pernah buat pertemuan dialog bersama dengan peruncit-peruncit? Ada tak buat pertemuan dialog bersama pengusaha-pengusaha? Ada tak pertemuan dialong bersama pemborong-pemborong untuk melihat di mana masalah sebenarnya?” soal Muhamad Arafat

Post a Comment

0 Comments