KERAJAAN Negeri Selangor yang ditunjangi KEADILAN memperuntukkan sejumlah RM3,600 setahun atau RM300 sebulan kepada keluarga termasuk ibu tunggal yang menerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT).
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Amirudin Shari ketika pembentangan belanjawan negeri bertemakan ‘Kita Selangor: Negeri Tahan Uji Mengangkat Martabat Insani’ pada Jumaat.
Tambahnya, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 30,000 keluarga di Selangor akan menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan peruntukan RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat.
Menurutnya, bantuan yang akan disalurkan itu antara inisiatif baharu yang dilaksanakan di bawah program BINGKAS.
“Bantuan ini boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti dari membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan juga pendidikan anak-anak serta menyara kehidupan rakyat.
“Pada tahun 2021, penerima bantuan KISS dan KISS-IT sedia ada adalah seramai 21,000 orang serta 9,000 orang tambahan penerima akan menikmati manfaat Program BINGKAS yang dijangka bermula pada Februari 2022,” katanya.
Sementara itu beliau turut berkata, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta kepada 402,000 orang yang mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
Manakala mereka yang mendaftar sebagai ahli skim SMUE akan mendapat manfaat baucer beli-belah RM100 pada bulan kelahiran dan juga khairat kematian bernilai RM500.
Sebagai rekod, kerajaan Selangor mengumumkan belanjawan defisit dalam Belanjawan Negeri Selangor 2022 apabila memperuntukkan sebanyak RM2.232 bilion bagi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan negeri itu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.222 bilion atau 52 peratus adalah bagi perbelanjaan mengurus sementara pembangunan pula sebanyak RM1.123 bilion atau 48 peratus diperuntukkan.
Defisit tersebut diyakini mampu ditampung berikutan rizab negeri itu dilaporkan meningkat kepada RM3.1117 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM1.1117 bilion berbanding 2019.
“Belanjawan 2022 menggariskan lima teras utama iaitu memacu pertumbuhan berimpak tinggi, membangun masyarakat penyayang, mengukuh agenda kesihatan awam, mewujudkan persekitaran hijau dan pembangunan lestari serta mengoptimumkan digitalisasi,” katanya.
Belanjawan dengan lima teras utama |
Selain itu, agenda perumahan negeri turut ditekankan termasuk impak daripada pandemik Covid-19 yang melibatkan penempatan pekerja industri.
0 Comments