LKAN 2020: Lagi gesaan supaya pentadbiran Mahiaddin disiasat



ANGKATAN
Wanita Amanah (AWAN) Nasional mendesak agar siasatan dilakukan terhadap Perikatan Nasional (PN) susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, bahawa negara kerugian RM620 juta.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah berkata ketika membuat gesaan itu berkata, kerugian tersebut termasuk RM499.19 juta membabitkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyelenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini berpunca daripada kegagalan MKN menyemak dengan teliti dokumen tuntutan pembayaran daripada syarikat konsesi dan tidak membuat pemotongan pembayaran atas perkhidmatan yang tidak mencapai KPI.

“Kami menegaskan bahawa kepincangan melibatkan kerugian ratusan juta oleh sebuah agensi sepenting
MKN ini sama sekali tidak boleh dibiarkan tanpa satu siasatan bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia perlu disusuli tindakan tegas jika wujud penyelewengan,” katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu, Nik Azman ketika pembentangan laporan itu berkata, kerugian ditanggung negara berlaku akibat ketidakpatuhan kementerian dan kerajaan Persekutuan ketika era pentadbiran mahiaddin Md Yassin itu dalam pengurusan kewangan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan dengan tindakan kerajaan yang bergantung kepada pinjaman baharu bagi membiayai bayaran balik prinsipal hutang matang.

“Tindakan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Pembangunan ini untuk membayar hutang-hutang lama adalah amat tidak wajar kerana dana ini sepatutnya digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan fizikal berkepentingan awam.

“Kerajaan harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mengurus kewangan negara dengan cekap dan telus sehingga dana yang sepatutnya digunakan untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat, tetapi digunakan untuk membayar balik hutang-hutang kerajaan,” tambah Aiman.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap peningkatan hutang negara pada tahun 2020 yang kini berjumlah RM879.560 bilion atau 62.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Hutang negara meningkat ketika era PN
"Hutang negara meningkat sebanyak RM86.562 bilion atau 10.9 peratus berbanding RM792.998 bilion atau 52.4 peratus di era pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 2019.

"Peningkatan hutang negara malangnya tidak membuahkan manfaat positif kepada rakyat apabila sebanyak RM98.058 bilion (50.4 peratus) daripada RM194.555 bilion pinjaman baharu itu digunakan untuk membiayai bayaran balik pinjaman yang telah matang," tegasnya.