TIMBALAN Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil tindakan proaktif membendung isu kenaikan harga barang.
Tegas Jimmy, isu kenaikan harga barangan yang diutarakan rakyat kebelakangan ini perlu diatasi segera.
Kegagalan kementerian terbabit menangani isu itu tegasnya hanya akan menambahkan beban ekonomi kepada masyarakat khususnya golongan B40 yang sedang berusaha bangkit selepas berdepan pendemik Covid-19.
“Dalam beberapa minggu ini hampir setiap hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan berita kenaikan harga barang. Selepas kenaikan harga ayam dan telur, kini rakyat mula terbeban dengan harga sayur yang naik melebihi dua kali ganda, kenaikan harga roti dan paling baharu harga alat ganti kenderaan naik sehingga 60 peratus.
“Bagi mengelak harga barang terus naik tidak terkawal, saya menggesa kerajaan melalui KPDNHEP dan MAFI segera mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan,
Media sebelum ini melaporkan peningkatan sehingga 200 peratus harga beberapa jenis sayuran. Peningkatan harga juga dilaporkan berlaku kepada barang keperluan lain seperti ayam dan telur.
Semalam, media melaporkan berlaku peningkatan harga harga bawang meliputi bawang besar, bawang Holland, bawang kecil, bawang kecil Siam dan bawang putih yang telah naik sebanyak tiga kali pada November.
Di Johor Baharu, harga bawang besar India di sekitar bandar raya ini meningkat hampir lima kali ganda berikutan kekurangan stok sejak dua minggu lalu.
Dipetik laporan media, satu guni lima kilogram bawang besar India pula kini dijual dengan harga RM26.90 berbanding antara RM13 hingga RM16 sebelum ini.
Harga bawang besar India dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekilogram, namun ia meningkat kepada RM8 sekilogram, sejak tiga minggu lalu.
Lakukan sesuatu, ringankan beban rakyat |
“(Kerajaan) Jangan sesekali beri jawapan yang boleh tambah kerisauan dan derita rakyat seperti ‘kenaikan harga barang adalah normal’. Ketahuilah bahawa rakyat tak nak dengar alasan sebaliknya perlu satu penyelesaian pantas daripada kerajaan,” tegasnya.
0 Comments