HARAPAN buat laporan lepas berlaku perkara 'pelik'



PAKATAN HARAPAN  (HARAPAN) memfailkan satu laporan polis setelah seorang ejen mengundinya diminta meninggalkan pusat undi.

Calon Ayer Molek Mohamad Rafee Ibrahim berkata, tindakan itu dianggap pelik kerana Ketua tempat pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya meminta ejen pengundian mewakili HARAPAN.

Kejadian itu dilapor berlaku di pusat undi SK Bendahara Seri Maharaja, Kandang dimana pegawai terbabit meminta Mohd Nasri Omar meninggalkan kawasan saluran empat dengan alasan beliau telah selesai dua jam bertugas.
 
“Parti lain tak kena halau, HARAPAN sahaja diminta keluar. Pelik juga,” tambah Mohamad Rafee sambil menegaskan dua jam adalah tempoh minimum tugas seorang ejen mengundi, bukan maksimum.

Tambah  Rafee lagi, selama setengah jam, HARAPAN tiada ejen di saluran berkenaan dan ini menimbulkan kebimbangan wujudnya penipuan.

“Sepatutnya, ketua tempat mengundi memberhentikan proses pengundian (bagi) meminta pengesahan SPR sendiri. Secara umumnya, ejen parti lain harus berasa bimbang mungkin ada manipulasi (ketika ketiadaan ejen),” katanya.

Selain itu, Rafee berkata, ejen pengundian turut ada melaporkan isu-isu seperti kehadiran penyokong parti tertentu di sekitar pusat bagi merayu undi.

Beberapa isu lain turut didedahkan
“Ejen kami dengan segera melaporkan kepada pegawai SPR, dan mereka (yang merayu undi) diminta beredar,” katanya.

Rafee turut mengadu bahawa ahli keluarga pengundi kurang upaya tidak diberi kelonggaran untuk menemani mereka ketika mengundi.

Post a Comment

0 Comments