Judi: sergahan PAS jangan sekadar retorik kaburi mata rakyat

 


PEMIMPIN sayap pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan kelantangan ditunjukkan Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat berhubung isu pertambahan jumlah cabutan khas nombor ramalan judi yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhammad Taqiuddin Cheman dipetik laporan Malaysiakini berkata, kelantangan pemimpin parti kerajaan itu setelah isu berkenaan terdedah dilihat tidak akan memberi apa-apa kesan signifikasi terhadap keputusan kerajaan itu.

Malah ia dilihat sebagai percubaan mereka untuk mengelak daripada dipersalahkan atau dikecam penyokong parti PAS.

"Pada saya apa yang mereka tunjukkan itu tak lebih sebagai tindakan mahu mengelak daripada dipersalahkan pengikut masing-masing.

"Nanti semasa muktamar atau ditanya ahli akar umbi, mereka bolehlah menjawab: 'Kita dah bantah, tapi kuasa sepenuhnya ada pada menteri," katanya.

Tambah Taqiuddin lagi,sepatutnya pemimpin parti itu yang berada dalam jemaah Kabinet menyatakan pendirian mereka secara jelas semasa dalam mesyuarat dan kepada menteri berkaitan.

"PAS sepatutnya menggunakan kedudukan ahli parlimennya sebagai anggota kabinet dan anggota kerajaan untuk mendesak ia dibatalkan.

"Tekanan yang ditunjukkan PAS tidak akan memberi kesan dari sudut pelaksanaan sekiranya mereka hanya menggunakan platform sebagai ahli parlimen sahaja," katanya dipetik laporan itu.

Baru-baru ini Kementerian Kewangan mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas perjudian dikembalikan kepada 22 kali setahun, selepas ia dikurangkan oleh kerajaan HARAPAN menjadi hanya lapan kali pada 2020.

PAS menurut Taqiuddin sewajarnyamengekalkan usaha baik dilakukan kerajaan HARAPAN sebelumnya.
 
"Keputusan mengurangkan cabutan nombor ramalan ini telah pun dibuat oleh kerajaan HARAPAN, justeru sepatutnya usaha mengekalkan had itu lebih mudah berbanding diubah semula

"Usahkan untuk laksanakan sesuatu yang baru, nak pertahankan perkara yang dah sedia baik pun PAS tak mampu," tambahnya lagi.

Beberapa pemimpin PAS dilihat menyuarakan bantahan, seperti Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) selain senator yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Khairil Nizam Khirudin. Difahamkan setakat ini belum ada kenyataan dibuat pimpinan tertinggi PAS.
 
Sementara itu Ketua Pemuda KEADILAN Kelantan Muhd Hafiz Muhd Kasasi berpendapat, kenyataan Ahmad Fadhli bahawa kerajaan dipimpin Ismail Sabri Yaakob akan berdepan "tentangan lebih hebat" jika keputusan menaikkan jumlah cabutan judi berkenaan tidak ditarik balik hanya sekadar retorik politik.

Ini kerana jelasnya, PAS sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan yang membenarkan syarikat judi itu melakukan 22 cabutan khas untuk tahun ini.

PAS sepatutnya pertahan usaha k'jaan HARAPAN
"Suara PAS sebagai anggota kabinet sepatutnya digunakan untuk mengekalkan keputusan dibuat HARAPAN bukannya menaikkan kembali jumlah cabutan.

"Sergahan (Ahmad Fadhli) sekadar mengaburi mata rakyat semata-mata untuk menampakkan mereka kononnya menentang sedangkan sepatutnya tentangan itu perlu dibuat sebelum kerajaan membuat keputusan.

"Ini hanya mainan demi kelangsungan politik PAS," tegasnyaseperti dilapor portal itu.

Post a Comment

0 Comments